Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting! - Azwar Syuhada

Tuesday, 1 March 2022

Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting!

 Salam to all readers,


| Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting! | Ikutkan aku baru je baik demam, tambah kuota internet phone aku dah habis, tak boleh nak akses dekat laptop. So, aku tak boleh nak update apa-apa. Ini aku balik Selangor, dapatlah update 2 - 5 entry terus nanti boleh buat schedule post. So, kalini aku nak share dengan korang semua, pengalaman aku pergi mandulkan Citam, kucing aku. Kucing aku dah dekat 10 ekor sekarang, yang kekal bertahan lama dalam rumah hanya Citam & Oren (dua beradik ini). Doranglah yang kerap bunting, asal aku balik je bersilih ganti anaknya, next balik tengok anak sebelum ini dah mati, keluar anak yang lain.


Ini semua kucing dekat rumah kampung, mostly mak aku yang banyak bagi makan. Kalau aku balik,barulah aku bagi dorang makan. Dari bagi nasi gaul dengan ikan hari-hari, dorang mula jemu, tukar pula bagi whisker yang timbang kilo dekat kedai runcit, bilamana orang kata tak elok memudaratkan, terus bertukar beli Whisker yang ada brand di pasaran. Dalam sebulan dekat 3 paket besar restock setiap bulan. Itu baru cerita makan, belum lagi berak merata-rata walhal dekat hujung rumah ada tanah, nak juga berak depan pintu. Aku memang sukakan kucing kalau dah terlalu banyak sampai tak terbela kos perbelanjaannya, nak taknak kenalah ambil inisiatif sendiri buat apa yang patut dibuat. Ikutkan aku dah lama aim nak mandulkan Citam, cuma kos nak mandulkan boleh tahan mahal. Nak kumpul duit untuk kos rawatan dia ni pun berbulan juga aku kumpul.


Bayangkanlah, 1 tahun kita bersamaan 7 tahun dia. Now, dah 7 tahun Citam & Oren ini duduk dengan aku. Usia mereka sekarang adalah 49 tahun guys!! Lagi tua dari aku sekarang? Kau ghasa? Btw, kucing aku adalah kucing outdoor, outdoor bagi aku dengan mak aku, kalau dah dasar kucing kampung pandai sahaja menyelinap masuk. Yang tahu memanjat, biasalah pandai sahaja cari jalan dalam bumbung nak masuk rumah. Mujur pandai keluar juga. Yang tak pandai memanjat, mampu perhati dari luar sahajalah. Kucing aku even duduk luar, dorang akan duduk dekat buaian ataupun belakang rumah. Paling jauh pun dorang merayap dekat belakang, rumah pak itam aku.


Antara 2 ekor kucing aku ini, Citam & Oren, si Citamlah yang paling aktif, kucing jantan banyak aim buat bini, agaknya dia paling cantik dekat kawasan rumah aku ini. Kadang-kadang, ada je kucing jantan datang ke rumah siap bergaduh berebutkan si Citam. Entah ubat pengasih apa si Citam ini pakai. Si Oren akan start bunting if si Citam dah warded. Dorang ini adik beradik memang close, kalau sekor tu penat menitikkan anaknya, yang sekor tolong susukan pula. Wow kan?


Kalau kau rasa 10 ekor dah banyak, ko bayangkan Pak Uda & Mak Uda aku bela kucing parsi berbelas ekor dalam rumah macam mana. HAru hidupp! Mak Uda aku rajin bawa kucing dia pergi vet, and mandulkan. Disebabkan kiteorang duduk 1 kawasan, aku tanyalah Mak Uda aku nak mandulkan kucing dekat mana elok? Then dia suggest buat dekat Hospital Haiwan Banting, sederet bubblebee Shuib tu.


Kebetulan bulan 2 haritu aku banyak WFH, so aku decide balik Selangor. Dan waktu tu aku tengok si Citam aku masih tak serik-serik bunting. Jadi, aku cakap dengan mak, kalini kita bawa dialah. Tak terbela dek kita kucing terlalu banyak dekat rumah. Malam sebelum hari aku nak bawa Citam ke hospital, aku sempat pergi makan-makan dengan mak Uda, so aku tanyalah dia, macam mana nak menjaga kucing lepas dia operate. Mak Uda kata senang sahaja, tapi kena pakaikan kolar dekat kepala dia dalam seminggu, takut dia duk gigit jahitan dia. 


Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting!


Aku gerak dari rumah memanglah awal pagi, sebab banyak tempat persinggahan nak pergi. Takut si Citam kencing dalam kereta, siap bawa mangkuk besar masukkan dia dalam tu even dah letak dalam beg. Sampai hospital sekitar pukul 12.30pm dengan tak minum dan tak makannya. Ingatkan sampai-sampai hospital boleh terus operatelah. Rupanya, doktor siap tanya kucing dah puasa ke belum?


Aku tak tahu pula kena puasa, itulah orang bawa kucing pergi vet awak pun nak buat jugalah, bila sampai masanya tak tahu prosedur sebetulnya. Alih-alih doktor tanyalah, pukul berapa last si Citam ini makan, aku cakaplah around pukul 5.30am pagi, kebetulan kak Fadhilah nak balik Ipoh pagitu. Then, doktor kata tinggalkan dia dulu, nanti kalau okay, dorang akan proceed proses pemandulan si Citam. If ada anak dalam perut dia nak digugurkan ke apa, aku cakap lah kalau ada gugurkan sahajalah, tapi aku rasa memang tak adalah, perut dia memang besar.


Mak akulah tak tahan waktu pergi kemain si Citam duk berlagu dekat telinganya sepanjang jalan. Aku duk gelak-gelak je minta si Citam senyap. Dia tak pernah naik kereta, takut pula kita pergi buang dia gamaknya. 





Ini muka polos si Citam aku tinggalkannya sekejap di hospital pada 3/2/2022. Waktu aku nak balik tu muka dia sedih gila aku nak balik. Aku cakap takpelah demi kesejahteraan kau juga Citam. Aku dengan mak aku pun baliklah dulu, around pukul 2.00pm doktor dari klinik haiwan call, kata boleh buat proses pemandulan si Citam. Aku pun okay sahajalah. Around pukul 4.00pm lebih jugalah aku datang pergi ambil dia memandangkan klinik tutup pukul 5.00pm.

Aku punya excited nak datang ambil dia balik. Then aku plak yang lemah tengok dia keluar dari hospital petang tu. Sebelum pergi ambil dia, menyempat kiteorang ke Lotus beli barang sikit baru ke Banting ambil Citam. Sampai-sampai, staff dekat situ minta nama kucing so aku cakaplah Citam, so dia pergi ambil kucing aku, sampai je depan mata aku tengok si Citam macam mamai-mamai dalam beg tu. Maybe ubat bius dia still ada lagi, dan masih sakit perut dia.


Charge Pemandulan di Hospital Haiwan Banting:


Kucing betina - RM 185 sebab proses pemandulan dia belah perut perlu dibedah
Kucing jantan: RM150 had jantan pemandulan dia dekat bahagian telur sahaja





Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Citam senyap je aku naik risau dia tak bersuara. Hidup lagi ke kucing aku ini. Sampai-sampai rumah aku bawa dia jumpa saudara di luar kejap. Then aku tengok dia makin lemah lepas pulang dari hospital. Aku text Mak Uda aku dia kata itu normal, ubat bius dia tak habis lagi. So, aku kuarantin dia dalam rumah. Citam try bangun berjalan then kejap-kejap jatuh, sebab perut dia agak panjang juga jahitan, Pak Uda kata lepaskan je dia takkan memanjat katanya tak larat. Tapi malam tu Citam try memanjat okay dah panjat almari dapur yang biasa dia naik turun tu aku cepat pegang kepala dia turun, sebab aku taknak jahitan dia tu berkuman. Pak Uda aku duduk rumah batu, kalau lepaskan pun tak ada effect. Aku ini rumah kampung, keluar berpasir, naik ke bumbung serbuk kayu tu nanti masuk kat luka dia tu. Kebetulan rumah aku tak ada pula sangkar kucing, jadi aku guna bakul kain tutupkan dia.

Malam pertama dia kuarantin tu, tak tidur malam aku dibuatnya, aku takut dia memberontak nak keluar. Kejap-kejap aku jengah ke dapur dia masih ada lagi tak dalam bakul. Nak dijadikan cerita, balik hospital tengok Citam lemah semacam, waktu tulah aku gigih duk google pengalaman orang jaga kucing yang dimandulkan. Adakah ini perkara biasa? 


Pada keesokkan harinya 4/2/2022, aku text saudara aku yang buka kedai kucing, aku tanyalah dia kot-kot ada jual sangkar kucing ke tidak. Aku nak walk in terus pergi beli. Dia kata ada, so aku bergegaslah pergi ke kedainya beli. Tak sampai hati aku tengok si Citam duk dalam bakul kain tu, ruang dia kecik pasti tak selesa. Nak beli dekat Shopee lambat sangat di posnya nanti. So pergi sahajalah ke kedai saudara aku beli sangkar.




Ini keadaan Citam malam pertama kuarantin (3/2/2022). Aku banyak membaca, penjagaan kucing yang dimandulkan ambil masa dalam 2 minggu lebih. Jaga elok-elok, sediakan tempat yang bersih, jauhkan dia dari kucing yang lain, pastikan tempat bahagian jahitannya sentiasa kering. Sebab lepas aku ambil kucing tu dekat hospital, doktor tu hanya maklumkan pakaikan kolar, dan kurangkan kuantiti makanannya dalam masa 10 hari. So, nak taknak aku kena survey juga panduan penjagaan mandulkan kucing macam mana. Sebab lepas mandul aku yang jaga, aku tak letak pun dekat mana-mana hotel. Mandulkan pun dekat RM200, kalau tidur hotel mahunya beratus-ratus lagi. Jadi, jagalah elok-elok sepanjang dia kuarantin ni.



Kedai Purrfect ini area kawasan rumah aku juga, awal dulu jual makanan kucing, alat permainan, now saudara aku siap buat hotel kucing lagi. Makin bertambah kucing dijaganya sekarang. Aku datang banyak kucing datang menyambut. Tanpa buang masa aku ambil sahajalah stok sangkar yang available. Boleh tahan jugalah harga sangkarnya.

Sangkar sahaja RM149 tak termasuk bekas makan dengan tempat berak tu. Aku ambil sangkar denga pasir je. Lain ada dekat rumah. Demi kau Citam ku sanggup perhabiskan duit janji kau cepat sihat. Balik tu, aku dengan mak aku bertungkus lumus memasang sangkarnya, letak dekat dapur. Sebaik bentangkan kain batik sebagai pelapik dia tidur dengan selesa, kipas dibuka supaya tempat luka dia tu kering sentiasa, tapi tulah dia suka tiarapkan perut dia susah aku nak menengok kesan jahitan tu okay ke tak. Sepnajang tempoh kuarantin pertama aku pakaikan dia kolar, hanya waktu makan dan minum sahaja aku bukakan kolarnya.

Mujur sepanjang tempoh kuarantin 2 minggu berada dalam sangkar Citam sangatlah behave. Aku jaga 4 hari selebihnya mak aku jaga memandangkan aku kena balik KL lepastu. So, hari-hari mak aku update, aku cakap kolar kena pakaikan takut dia ambil kesempatan jilat bahagian luka. Kita invest dah mahal jadi jagalah kejap dalam tempoh sebulan ini supaya tidak ada kemudaratan kelak.


Itulah rupa jahitan di perutnya, dekat 6 jahitan jugalah, sekarang dah okay dah boleh lepaskan keluar. Punyalah happy dapat lepas. Tapi sekarang dia banyak duduk dalam rumah sekarang.

Apa-apa pun aku puas hatilah mandulkan kucing aku ini dekat Hospital Haiwan Banting, dia jahit kemas. Sampai-sampai dia sambut kucing aku dengan baik sekali. Kucing aku pun behave, tak memberontak langsung. Staff dekat situ terangkan prosedur nak mandulkan kucing, sekurang-kurangnya kena puasakannya 1 hari ataupun 8 jam sebelum operate. Hal ini bagi mengelakkan kesan sampingan lepas operate. Contoh dia muntah atau effect lain pula nanti.

Mujur aku bagi makan seawal 5.30am pagi, so ada gap dia boleh buat operation pada haritu. Tak perlu buat appointment, datang walk-in sahaja. Kliniknya open seawal 9.00am sehingga 5.00pm. Nak confirmed buka ke tidak boleh try call dulu sebelum pergi. 

Zalimkah kita mandulkan kucing?


Pak Itam aku tak kenan aku mandulkan Citam, dia kata menyeksa haiwan. Tapi kesejahteraan dia juga akan datang eloklah pergi mandulkan di tempat yang sebetulnya. Dari dia beranak pinak, sampai mak aku sendiri tak terbela. Takkan nak buang pula kan? Mana lagi zalim buang atau mandulkan? Kalau buang belum tentu dia dapat makan dan tempat tinggal kan? Jadi solusinya mandulkan sahajalah kalau dah tiba masanya. At least mandulkanlah kucing yang dah pernah bunting banyak. Kalau yang masih kecik lagi tu mak aku kata biarkan dulu, at least bagi dia merasa ada zuriat sendiri baru nak mandulkan.


Kebaikan Mandulkan Kucing Baik kepada Pemilik Haiwan & Juga Haiwan Peliharaan:


1)  Tuan peliharaan kurang stress memikirkan pembiakan anak kucing yang beranak pinak
2) Haiwan peliharan yang dimandulkan akan jadi lebih manja dengan tuannya
3) Kalau mandulkan kucing jantan, dorang dah kurang memancut merata-rata lepas disunatkan
4) Haiwan peliharaan yang dimandulkan akan kurang agresif dan kurang menggigit
5) Haiwan peliharaan akan hidup lebih sihat tanpa risiko kanser prostat dan ovari, dijangkiti kelamin dan kanser payudara
6) Haiwan peliharaan yang dimandulkan akan kurang merayap, banyak masa duduk di dalam rumah dan kurang bergaul dengan kucing lain
7) Bulu pun makin lebat dan sihat


Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting!

Cara Penjagaan Kucing Selepas Kucing Dimandulkan:


1) Hari dimandulkan terus auto kena jaga sebab hospital tu takde buat servis hotel. Jadi doktor nasihatkan pakaikan kolar sepanjang kuarantin dan kurangkan kuantiti makanan
2) Kurung kucing dalam tempoh 1-2 minggu supaya dia tak lasak sangat.
3) Pemakainan kolar adalah bagi mengelakkan dia menjilat bahagian jahitan. Takut nanti berkuman dan bernanah, jadi pakaikan sahaja kolar
4) Jangan mandikan kucing selama 2 minggu, aku pun tak pernah mandikannya, dia mandi sendiri.
5) Sepanjang tempoh kuarantin aku bagi makanan yang lembut-lembut dalam paket tu je.


Ada masa Citam berusaha untuk membuka kolar yang dipakainya. Banyak kali cubaan yang dibuat berjaya membuka kolar tersebut. Namun, usahanya hanya sia-sia, sebab aku dah amanah mak aku untuk memakaikan kolar sentiasa sepanjang tempoh kuarantin. Hanya waktu makan dan minum boleh dibuka. Akhirnya dia pun akur dah menggunakan masa kuarantin untuk beristirehat di dalam sangkar dengan tenang. Makan minum berak semua dalam tu juga.

Alhamdulillah, kini Citam dah sihat, bahagian jahitan dia pun dah start berbulu balik dan kesan jahitan dia pun dah beransur pulih. Kemain suka dia dapat lepas dari sangkar. Dia tak bunting pun, perut dia memang besar, sekarang dia memang banyak masa dalam rumah even dah dapat lepas. Mak aku kata, waktu muda-muda dia beranak dulu tak tahu nak jaga badan, bengkung pun tak pakai apatah lagi tak pergi berurut dengan berpantang. Seronoklah dia dapat apa dia nak. Agak seksa jugalah masa tengok dia lepas operate, now dia pun dah makin sihat, rasa gembira tengok keadaan Citam sekarang. 


Next time, si Oren bakal menyusul juga. Tapi aku tengok dululah macam mana nanti. Si Oren boleh tahan garang jugalah. Kalau kena kuarantin tu tak tahulah apa jadi nanti. Sekarang bagi dorang chills dulu. 

Inilah salah satu kucing jantan aku di rumah. Penakut sikit, tapi dia akan baik kalau orang bagi makan. Pantang pelawa laju je datang.


Pengalaman Pertama Mandulkan Kucing di Hospital Haiwan Banting!

Inilah si Oren adik si Citam. Yang dia susukan tu ada juga anak Citam dan anak buangan orang duk buang depan rumah. Kebetulan dia baru lepas beranak haritu, bolehlah dia susukan semua sekali. Aku bagi dia relax dulu, akan datang kau pula ya Oren.


Itu sahajalah kisah aku dan anak-anak bulus.


 Thank you for reading guys!



1 comment:

Assalamualaikum , terima kasih kerana berkongsi pendapat dan juga luahan rasa , moga memberi manfaat buat kepada kita semua .. !!